Friday, July 10, 2009

Wacana Bincang Kedudukan Bangsa Melayu

Selama dua hari bermula hari ini berlangsung satu wacana yang bertajuk ‘Kedudukan Institusi Beraja & Melayu Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Persektif I Malaysia’ di Dewan Merdeka PWTC.

Antara objektif Wacana tersebut ialah :

1. Memberi Kefahaman terhadap kedudukan serta hak istimewa oaring Melayu dari perspektif Perlembagaan dan Undang-undang Malaysia.
2. Kedaulatan dan peranan Raja-raja dalam melindungi orang-orang Melayu di Malaysia.
3. Memperkasa dan menangani persoalan dan isu-isu masa kini terhadap kesahihan kedudukan Melayu dan Raja-Rajanya dari perspektif 1 Malaysia.

Wacana yang akan berlangsung selama dua hari ini akan membariskan golongan pemimpin dan ahli akademik sebagai penceramah dan ucaptama oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Antara lain ialah Tan Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah (Naib Canselor UiTM), Prof. Dr. Ramlah Adam (UiTM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari (UIAM), Datuk Sahlan Ismail (JPM), Datuk Salehuddin Saidin (SSA) dan Datuk Fuad Hassan (JASA).

Sesi terakhir wacana tersebut akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tajuk Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu Dalam Perlembagaan Persekutun dari Perspektif Satu Malaysia.

Tuesday, June 23, 2009

HADI KENA JAWAB DENGAN TUHAN KERANA BERCAKAP BOHONG



HIPOKRIT. Mungkin itulah perkataan yang paling sesuai ditujukan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengecam UMNO dan BN kerana didakwa membuat fitnah dan tohmahan jahat untuk mengugat kekuatan Pakatan Rakyat.

Satu Malaysia tahu Hadi yang memulakan idea Kerajaan Perpaduan dan disambut baik oleh Datuk Seri Najib, tetapi apabila berhadapan dengan Anwar dan Kit Siang, Hadi menjadi `penakut' dan menjadikan UMNO sebagai `Kambing Hitam'.

Hadi yang menyebut dalam Muktamar Pas bahawa Pas sanggup berjumpa sesiapa sahaja termasuk UMNO untuk berbincang soal perpaduan Melayu dan Islam tetapi apabila digertak oleh sekutu mereka dalam Pakatan Pembangkang, Hadi berdalih dan bercakap bohong.

Jika untuk membincangkan soal Perpaduan Melayu dan Agama Islam bersama UMNO, Pas tidak mampu untuk berkata benar, bagaimana Pas mahu menegakkan perjuangan Islam bersama DAP yang terang-terang menolak Islam?

Seperti mana kenyataan Lim Guan Eng sebelum ini, dalam isu Kerajaan Perpaduan Hadi perlu jawab dengan Tuhan kerana bercakap Bohong.

Monday, June 15, 2009

DUA PENGKHIANAT YANG MAHU MEMERINTAH NEGARA


TINDAKAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pulang ke negara ini telah menimbulkan kemarahan rakyat negara ini.

Disebabkan mahu menjadi populis dan meraih undi orang Cina, Anwar telah melupakan bagaimana kekejaman Chin Peng yang menyiksa, menetak dan menyembelih rakyat negara ini semata-mata kerana beliau (Chin Peng) mahu menjadi pemerintah dan menakluk Tanah Melayu.

Paling menyayat hati PKM yang dipimpin oleh Chin Peng bukan sahaja membunuh orang lelaki dewasa malah wanita dan kanak-kanak dalam buaian yang tidak berdosa juga telah dibunuh oleh Komunis.

Tetapi hari ini kerana mahu menjadi Perdana Menteri Anwar berkata, "Dia (Chin Peng) umur pun dah tua. Dia nak balik kampung halaman dia. Kita dah benarkan dulu," dalam sidang media selepas berucap dalam Kongres Khas PKR di Bangi semalam.

Anwar perlu sedar ramai mangsa dan waris mangsa kekejaman Komunis sedang `menanti' kepulangan Chin Peng kerana dosa Chin Peng terlalu besar kepada rakyat negara ini dan tidak boleh `dibasuh' hanya dengan dasar perikemanusian dan hanya kerana dia sudah tua.

Monday, June 8, 2009

KERAJAAN PERPADUAN - MELAYU PERLU BERSATU

"Saya bersikap terbuka terhadap konsep kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang," kata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

"PAS tidak akan menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak kerana ia merupakan satu tuntutan dalam Islam," kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dua kenyataan di atas dibuat oleh dua orang pemimpin Melayu yang melihat perlunya orang-orang Melayu bersatu bukan sahaja untuk kestabilan politik dan ekonomi malah mengembalikan semula kekuatan umat Islam di negara ini.

Banyak pihak melihat kegemilangan dan kekuatan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini boleh dicapai jika kedua-dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas bersatu duduk semeja merundingkan masalah yang melanda negara.

Penyatuan orang-orang Melayu di negara ini bukan isu perkauman kerana semua kaum dilindungi oleh undang-undang dan Perlembagaan negara ini.

Perbalahan dan pepecahan di kalangan orang-orang Melayu di negara ini disebabkan oleh ideologi politik bukan sahaja boleh melemahkan negara malah diambil kesempatan oleh kuasa asing untuk `menjajah' semula negara ini.

Jika Melayu bersatu dan menjadi bangsa yang kuat seperti satu ketika dahulu kita bukan sahaja dihormati oleh kuasa asing malah kaum-kaum lain di negara ini turut sama meraih hasil ekonomi daripada kekuatan bangsa Melayu.

Mungkin perkara ini yang difikirkan oleh Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Abdul Hadi kedua-dua pemimpin Melayu yang mewakili dua parti Melayu terbesar di negara ini.

Apa pun ramai pihak yang menanti apakah Kerajaan Perpaduan ini akan menjadi kenyataan!

Wednesday, May 27, 2009

RASUAH - LAYAKKAH ANWAR UNTUK DUDUK BERSAMA NIK AZIZ?


Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution mengakui memang wujud pertemuan dua orang pemimpin tertinggi parti itu berjumpa dengan calon bebas Dun Penanti, Aminah Abdullah tetapi mereka bukannya mewakili PKR.

Menurut Saifuddin lagi, perbualan dua ahlinya itu sebagaimana yang dirakam oleh Aminah tidak mewakili PKR sebaliknya mewakili individu itu sendiri.

Yang menariknya, dua individu yang dimaksudkan oleh Pengarah Pilihan Raya PKR ini bukanlah ahli biasa tetapi pemimpin tertinggi PKR yang memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan PKR Pusat dan Pegawai Khas kepada seorang Exco PKR kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Aminah yang juga bekas Ketua Pergerakan Wanita PKR Pulau Pinang
membuat pendedahan PKR menawarkan wang sebanyak RM80,000, jawatan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang jika beliau menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 jika beliau terus bertanding dan menang.

Dakwaan Aminah ini adalah serius dan beliau tentunya mempunyai bukti yang kukuh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PKR di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dengan nada angkuh berkata penubuhan parti itu adalah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan rasuah.

Penglibatan dua pemimpin tertinggi parti itu yang berjumpa dengan Aminah sudah tentu menjadi tanda tanya bukan sahaja kepada pengundi di Dun Penanti malah kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Apakah PKR cakap serupa bikin atau apakah tawaran Rasuah sudah menjadi sebahagian daripada strategi dalam jentera Pilihan Raya PKR untuk menang dalam sesuatu pilihan raya?

Kalau itu yang berlaku rakyat bertanya apakah layak Anwar untuk duduk bersama-sama dengan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang amat benci kepada Rasuah?

Tuesday, May 19, 2009

SERAH KUASA KEPADA RAKYAT DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE 13


Jika UMNO dan BN takut menghadapi rakyat sebagaimana dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim UMNO / BN tidak akan menyertai Pilihanraya kecil di Permatang Pauh, Bukit Gantang dan Bukit Selambau kerana menang kalah dalam ketiga-tiga pilihanraya kecil ini tidak akan mengubah langskap politik negara - UMNO / BN tetap berkuasa dan sebagai parti pemerintah di negara ini.

Jika UMNO / BN takut menghadapi rakyat, UMNO / BN tidak akan menyerahkan mandat kepada rakyat setiap lima tahun sekali bagi diadakan pilihanraya umum bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang mereka kehendaki.

Tetapi UMNO / BN tidak akan menari mengikut rentak parti pembangkang. Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, UMNO / BN mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan mengutamakan khidmat kepada rakyat.

UMNO / BN tidak bertanding di Penanti kerana kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Anwar mahu memecat Fairus daripada kerusi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 dan menjadikan Fairus sebagai `kambing hitam' dengan dengan tuduhan rasuah tetapi nama Fairus dibersihkan oleh SPRM.

PRK Penanti tidak sepatutnya diadakan setelah SPRM membersihkan nama Fairus daripada tuduhan rasuah tetapi disebabkan Anwar mahu mengantikan Fairus dengan orang kepercayaannya Mansor Othman, PRK Penanti terpaksa diadakan dan wang kerajaan terpaksa dibelanjakan demi memenuhi cita-cita politik sempit Anwar.

Setiap kali PRK diadakan kerajaan terpaksa membelanjakan wang rakyat sehingga RM20 - 30 juta dan wang itu sepatutnya dibelanjakan untuk membina infrastruktur dan kemudahan kepada rakyat.

Di samping itu juga, dalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara daripada kemelesetan ekonomi global setiap kali PRK diadakan kehidupan dan rutin hidup rakyat akan terganggu dengan kempen-kempen daripada parti yang bertanding.

Selepas ini akan banyak lagi PRK akan diadakan kerana ramai lagi pemimpin PKR yang akan diganti dengan suku sakat Anwar dan Anwar selepas ini akan dianugerahkan jawatan sebagai `Penerbit Kepada Siri Pilihan Raya Kecil'.

Anwar kini berhadapan `buku dengan ruas' kerana Presiden UMNO / BN yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan menari mengikut rentak parti pembangkang dan dengan slogan 1Malaysia - `Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan' biarlah rakyat membuat keputusan kerajaan mana yang hendak mereka pilih dalam PRU ke 13.

Thursday, May 14, 2009

PEMIMPIN PAS MAIN DUIT?


MEMALUKAN. Parti Islam Semalaysia yang matlamat perjuangannya memperjuangkan Islam sebagai addin tetapi telah diresapi dengan gejala politik wang menjelang Muktamar parti itu bulan hadapan.

Perkara ini bukan didedahkan oleh orang UMNO atau BN tetapi oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamad Daud Iraqi yang menyatakan wujudnya gejala membeli undi menjelang pemilihan parti itu pada muktamar yang akan diadakan di Shah Alam pada bulan Jun nanti.

Sebagai Ketua Dewan Ulama, tidak ada sebab untuk Mohamad Daud berbohong dan beliau memilih untuk mendedahkan kepincangan ini kerana beliau tidak mahu gejala politik wang menjadi barah dalam Parti yang memperjuangkan Islam itu.

Mengapa sekarang ini berlaku gejala politik wang di dalam Pas? Kalau dahulu kita tidak pernah mendengar pemimpin Pas `main duit' untuk menang sesuatu jawatan tetapi nampaknya keadaan sudah berubah dan apa yang didedahkan oleh Mohamad Daud ini sungguh memalukan.

Jawapannya kerana pengaruh `Anwar' telah meresap ke dalam batang tubuh parti itu. Menjelang Muktamar bulan hadapan Pas sekarang sedang berdepan dengan pergolakan antara pimpinan ulama dengan pimpinan profesional.

Satu golongan dalam Pas mahu parti itu diketuai oleh pimpinan ulama manakala satu golongan lagi mahu supaya Pas dipimpin oleh golongan Profesional. Golongan ulama diketuai oleh Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang manakala golongan Profesional atau lebih dikenali dengan nama kumpulan `Erdogan' terdiri daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua orang tahu ketika di dalam UMNO `Bapak' segala politik wang adalah Anwar Ibrahim. Siapa yang mengajar politik wang di dalam UMNO kalau bukan Anwar Ibrahim. Dalam tahun 1993 ketika bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO menentang Ghafar Baba (Allahyarham) wang `dicurahkan' seperti mengalirnya air sungai.

Hasilnya, Allahyarham Pak Ghafar hanya dapat beberapa pencalonan sahaja daripada bahagian-bahagian UMNO manakala yang lain semuanya mencalonkan Anwar sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Apa yang dilakukan oleh Anwar di dalam UMNO dahulu hendak dilakukan di dalam Pas. Matlamat menghalalkan cara dan duit boleh membeli segala-galanya. Ini yang membimbangkan Ketua Dewan Ulama Pas.

Inilah hasilnya apabila Pas berkawan dengan PKR dan DAP. Pemimpin Pas mengeji UMNO kononnya tidak bermoral kerana politik wang tetapi hari ini pemimpin-pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu menutup pekung yang mula membusuk di dalam parti itu.

Tetapi Nik Aziz perlu ingat bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan daun pisang lambat laun akan diketuai orang juga.